| |
Akhir-akhir ini, ramai orang berbicara mengenai Ketuanan Melayu. Cara penolakan Ketuanan Melayu juga tidak sama. Misalnya, dalam kalangan Melayu sendiri, ada yang menolak Ketuanan Melayu kerana lafaz dan pengertian itu datangnya daripada Umno. Lazimnya, Ketuanan Melayu versi Umno ini ditolak oleh Pas, dengan menggunakan lafaz Ketuanan Islam. Tapi, akhir-akhir ini suara yang menolak Ketuanan Melayu ini datangnya daripada parti komponen BN sendiri, iaitu MCA. Antara punca kenapa Umno tergugat ialah kerana sejak 50 tahun belakangan ini, tiada usaha tersusun untuk menerangkan hubungan asal-usul Ketuanan Melayu yang kuat bergantung kepada Islam. Alam ini, atau negara ini milik Tuhan dan Dia memberikan tanggungjawab ke atas khalifah (umat Islam) menguruskannya. Dan, dalam konteks negara Malaysia hari ini, orang Melayu itu beragama Islam. Itulah yang telah diperjelaskan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Maka, suka atau tidak, Ketuanan Melayu tetap wujud walaupun lafaz itu tidak disukai sesetengah pihak. Lafaz ini wujud dengan sebab wujudnya orang bukan Melayu di negara ini. Maka, kalau bukan Melayu tidak wujud dan tidak berhiijrah dari negara asal mereka (China dan India), tiada keperluan lagi untuk dipertahankan hal ini. Soi Lek dan Mei Fun antara pihak yang paling ke depan dalam hal membantah Ketuanan Melayu ini. Soi Lek menolak hal ini kerana konsep ini seperti faham tuan-hamba walaupun sebenarnya hubungan Melayu dan bukan Melayu di negara ini bukannya seperti 'Master and Slave' dalam hubungan Bangsa Mesir purba yang memperhambakan Bani Israel suatu ketika dahulu. Kemuncak kepada penolakan tuan-hamba (master and slave) ini bermula dengan konflik pergeseran antara Musa dan Fir'aun. Tapi, adakah hal semacam ini diperjelaskan oleh Umno kepada MCA? Antara ciri-ciri yang menunjukkan sesebuah bangsa itu masih terperangkap dengan fahaman tuan-hamba (master and slave) ini ialah sikap menjadikan kaum wanita sebagai hamba kaum lelaki. Tahap paling kronik ialah menjadikan wanita sebagai alat pemuas nafsu syahwat kaum lelaki. Mungkin Soi Lek lebih faham dan sedar hal ini kerana beliau lebih berpengalaman sebelum beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Kesihatan tidak lama dahulu. Kewarganegaraan dan Ketuanan Melayu ada harganya Jika Mei Fun memahami apakah maksud sumbangan dan jika beliau mentakrifkan sumbangan itu sebagai sesuatu yang berharga seperti wang, melalui cukai dan sebagainya, maka fahaman yang semacam ini perlu diteliti dengan sebaik-baiknya. Sebagai yang termaklum, apabila bangsa Melayu memberikan kewarganegaraan kepada bukan Melayu, maka bukan Melayu perlulah iktiraf Ketuanan Melayu, Keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan di negara ini. Sekali lagi, Islam adalah kunci utama dalam penyelesaian hal ini. Ketuanan Melayu ada harganya. Harganya adalah darah dan air mata. Nenek moyang Melayu mempertahankan bumi ini daripada Siam, Portugis, Belanda, Jepun dan juga penjajah yang lain. Sedangkan, kaum bukan Melayu tak banyak memainkan peranan dalam menolak penjajahan ini, melainkan Jepun sahaja. Dan, hal ini pun terjadi kerana kesan orang-orang Cina yang tidak suka negara mereka dilanggar oleh Jepun suatu ketika dahulu. Maka jumlah penolakan ke atas penjajahan ini, kaum Melayu yang lebih banyak berkorban berbanding bangsa-bangsa lain. Inilah harga Ketuanan Melayu dan adakah mereka sanggup berkorban? Apabila menjelang kemerdekaan, atas persetujuan bahawa orang Melayu mahu menerima bukan Melayu sebagai warganegara dan bukan Melayu mahu menerima hak keistimewaan Melayu dan lain-lainnya, maka bermulalah urusan 'membayar' semula hal yang telah dipersetujui itu melalui cukai-cukai, wang yang dilaburkan dan sebagainya. Maka, orang bukan Melayu selama ini membayar cukai, menyumbang wang, melabur di dalam pembangunan di negara ini kerana melunaskan hutang kewarganegaraan mereka seperti yang diputuskan sejak lama dahulu. Kewarganegaraan itu ada harganya dan wang yang dilaburkan selama ini cuma sekadar membayar kewarganegaraan tersebut. Inilah yang harus difahami oleh kaum bukan Melayu di negara ini. Sementara bangsa Melayu membayar wang, cukai dan segala macam pelaburan di dalam negara ini adalah untuk membayar apa yang dinamakan sebagai ketuanan Melayu itu sendiri. Islam menjelaskan hal ini sebagai berikut. Di dalam sebuah negara yang mana penduduknya memilih untuk tidak menganut agama Islam misalnya, para penduduknya tidak akan pernah dipaksa. Kemudiannya, negara itu diminta untuk terus berada di bawah naungan Islam, membayar ufti, sejumlah wang sebagai tanda ikatan antara mereka. Dengan perjanjian dan akad itu, negara itu akan terus-menerus dilindungi oleh negara Islam jika negara bukan Islam di bawah naungan mereka yang telah membayar ufti itu diserang oleh sebuah kuasa lain. Sepatutnya, hal fahaman yang semacam inilah yang cuba dibangkitkan oleh Umno (khasnya agamawan Umno) kepada ahli-ahli parti komponen mereka. Tetapi, akhirnya yang diasuh, dinilai, dipupuk, ditarbiyyah hanyalah perkongsian kuasa. Agak pelik juga.. kuasa yang direbut-rebut selama ini akhirnya dikongsi pula. Jadi, ini fahaman yang rapuh dan mudah tertanggal daripada jiwa orang bukan Melayu khasnya rakan mereka sendiri daripada MCA. Kesimpulannya, janganlah orang bukan Melayu di negara ini menyangka bahawa sumbangan mereka selama ini sama ada dalam bentuk wang cukai pelaburan ini menunjukkan bahawa orang Melayu telah berhutang pula kepada mereka. Malah, sebenarnya mereka berhutang kewarganegaraan kepada orang Melayu. Dan wang, cukai selama ini yang kononnya untuk pembangunan negara ini sebenarnya adalah wang untuk melunaskan hutang piutang kewarganegaraan kepada orang Melayu sebagai tuan kepada negara ini. Kita pun bukan suka sangat menulis mengikut rentak semacam ini. Dah lama juga kita pendam. Takut silap tafsiran, orang tuduh tulisan semacam ini sudah ada ciri-ciri perkauman pula. Tapi, jika orang sudah membeli, kita patutlah menjualnya dan orang telah memberi kita patutlah merasa. Tapi, Umno yang diharapkan menjawab seperti ini, telah kering akliah dan kosong fikirannya, tidak tahu cara menjawab. Yang mereka tahu, tutuplah mulut kerana nanti akan jadi isu perkauman. Demikian, jika sudah banyak makan rasuah, kerap berlibur dan berhibur, akal jadi mati berhujah untuk menjawab tohmahan rasoh (rakan yang sebenarnya musuh). by Fahri Abdullah al-Masri Sekolah Pemikiran Kg Baru |
Monday, December 1, 2008
Hutang kewarganegaraan perlu dibayar
Tuesday, November 25, 2008
YOGA DAN IMPLIKASI TERHADAP AKIDAH
Tuesday, November 18, 2008
JEPUNMANIA vs kOREAMANIA = Islam?
Dewasa kini terjahan hebat hiburan kepada remaja kita sehingga terdapat segolongan yang begitu taksub dan menjadikan idola mereka. Fenomena ini terus berkembang dan menjadi trend kepada remaja terutama mereka yang sedang belajar di IPT. Kebanyakan mereka memilih band-band temporari remaja dari negara Jepun dan Korea, sememangnya diakui pengaruh kumpulan muzik remaja dari kedua-dua negara ini amt besar, dimana mereka mampu mencetus evolusi terkini dunia muzik. Antara kumpulan yang berjaya mencipta nama besar dalam industri muzik di Jepun dan Korea kini ialah Band DBSK. Band ini terdiri daripada 5 orang anak muda yang menjadikan pop rock dan rap sebagai identiti kumpulan. Kemunculan band ini dengan membawa corak muzik yang dikatakan lebih segar di samping kehebatan tarian meraka semasa membuat persembahan bagaikan mencetus dimensi baru kepada remaja yang gilakan hiburan. Berdasarkan pemerhatian, pemujaan kepada band yang berasal dari Jepun dan Korea tercetus apabila banyak rancangan dan program televisyen terutamanya yang melanggang stesen berbayar di pertontonkan kepada umum, baik rancangan berbentuk hiburan muzik, karton, drama atau filem. Gelagat mereka yang persis dengan pakej wajah yang menawan atau macho di samping watak-watak hebat sebagai idola menyebabkan trend minat remaja telah beralih dari memujai artis barat kepada artis yang berasal dari timur jauh asia. persoalan disini ialah kenapakah trend ini begitu menular sehinggakan kedapatan segelintir pelajar IPT yang begitu taksub memujai mereka. Lebih mengejutkan lagi apabila lensa kamera dapat menangkap beberapa gambar pelajar IPT yang sedang syok berdansa di sebuah konsert yang turut diserta oleh DBSK dan pelajar lengkap bertudung dan berbaju kurung! masyaallah. Adakah remaja kita telah lupa akan konsep idola di dalam Islam. Islam mempunyai ramai tokoh-tokoh hebat yang boleh di jadikan idola.
cuba renungkan satu artikel dari Prof Dr. Sidek Baba dari Universiti Islam Antarabangsa. Beliau telah mengulas telah konsep Idola di dalam Islam:
BERPANDUKAN kamus Webster dan Oxford, istilah idola didefinisikan sebagai menyembah atau memuja Tuhan atau menghubungkan sesuatu dengan imej ketuhanan. Istilah diva pula dikaitkan dengan Tuhan orang-orang Hindu iaitu dewa atau dewata.
Pada hari ini istilah idola dan diva dihubungkan dengan pendewaan terhadap manusia popular khususnya di kalangan sesetengah remaja seperti artis, ahli sukan, ahli muzik, pemimpin malah ada yang mengaitkan idola itu dengan Nabi Muhammad s.a.w..
Memang para remaja memiliki naluri meniru, mencontohi, meneladani dan mengagumi sesuatu atau seseorang. Remaja belajar daripada orang lain kerana ingin dewasa dengan pengalaman dan petunjuk yang betul. Remaja meniru daripada seseorang atau sesuatu kerana peniruan boleh menjadikan ia matang dan mampu meneruskan tradisi.
Dalam tradisi Islam meniru tidak salah kalau yang ditiru itu benda-benda atau perkara yang baik. Mencontohi juga tidak salah kalau yang dicontohi itu adalah sesuatu yang bermanfaat. Meneladani sesuatu yang berguna supaya ia menjadikan remaja matang dan berilmu. Mengagumi sesuatu yang hebat dan cemerlang kerana ia boleh membimbing remaja mempunyai kualiti diri.
Rasulullah s.a.w. dibentuk wataknya oleh Allah s.w.t. menerusi al-Quran dan menjadikan Nabi contoh yang terbaik untuk umat manusia. Pada Nabi terdapat qudwah atau contoh yang membawa risalah atau pengajaran untuk seluruh alam. Dalam ajaran Islam, sebaik mana peribadi, akhlak dan tingkah laku Nabi ia tidak sampai kepada tahap pemujaan atau menyamakannya dengan Tuhan atau menimbulkan rasa penyembahan yang luar biasa. Nabi ialah manusia seperti kita dan Allah beri kepadanya kelebihan supaya baginda menjadi sumber ikutan terhadap manusia zamannya dan juga manusia terkemudian.
Konsep idola dan diva sudah bercanggah dengan konsep qudwah. Rasulullah s.a.w. sepanjang 13 tahun di Mekah menentang berhala dan amalan memberhalakan kerana ia dikaitkan dengan perbuatan syirik. Syirik adalah jenis dosa yang tidak diampunkan oleh Allah s.w.t.. Oleh itu Rasulullah s.a.w. melakukan dakwah, penyeruan dan pengajakan supaya manusia beriman kepada Tuhan Yang Satu. Itulah asas tauhid yang ditanamkan oleh Rasulullah s.a.w. yang menyebabkan cara berfikir dan bertindak sahabat-sahabat Nabi dan pengikut sezamannya meletakkan Allah itu satu-satunya Tuhan, bukan dua dan tidak juga tiga.
Mengapa faktor akidah dilihat sebagai faktor terpenting bagi seseorang penganut Islam? Akidah tauhid menjadi asas ikatan atau �aqaid� manusia dengan Penciptanya. Apabila asas ini jelas dan kukuh, ia meletakkan Allah Yang Perkasa, Maha Mengetahui, Yang Berkuasa sedangkan manusia adalah hamba-Nya. Jiwa kehambaan menjadikan manusia tunduk, patuh, taat dan akur terhadap ajaran-Nya.
Rukuk dan sujud dalam solat adalah lambang bagaimana latihan akur, tunduk, taat dan patuh dilakukan dan hikmah atau kebaikan sifat-sifat itu menjadikan manusia tunduk kepada yang baik dan benar, patuh kepada peraturan dan undang-undang yang adil, taat dalam menghubungkan kerja sebagai sumber ibadah dan akur terhadap sumber teladan manusia yang cemerlang dan berakhlak.
Konsep idola dan diva boleh menyebabkan remaja melakukan pemujaan atau pengaguman yang melampau. Darjah minat menjadi begitu luar biasa sehingga segala-gala yang ada pada penyanyi yang dipuja baik suara, gaya berpakaian, rambut dan gelagat penyanyi itu menjadi sumber pembentuk remaja untuk menjadi remaja yang berjaya.
Darjah pendewaan remaja terhadap ahli muzik dan ahli sukan menyebabkan �kegilaan� yang melampaui batas sehingga banyak masa digunakan dengan berbagai cara menunjukkan ahli muzik dan ahli sukan dekat pada diri dan hadir dalam hatinya.
Naluri �kegilaan� memang lazim terdapat bagi sesetengah remaja yang sudah hilang kawalan diri. Sering kedapatan remaja Islam yang tidak menjaga adab menutup aurat. Melakukan pendedahan tubuh yang menjolok pandangan dan perhatian.
Memakai seluar ketat yang menampakkan susuk dan bentuk tubuh secara ghairah. Hilang adab terhadap orang tua. Hilang malu melakukan sesuatu yang aib di khalayak ramai. Malah bercakap perkara-perkara yang tidak mendatang faedah atau menambah ilmu.
Amat penting para remaja dididik dengan kesuburan naluri contoh yang menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai qudwah. Allah s.w.t. dijadikan sumber ibadah dalam pengertian Dialah satu-satunya yang berhak disembah bukannya manusia apalagi patung-patung. Perkara ini adalah mustahak untuk menjadikan remaja orang-orang yang jelas jalan akidahnya dan jernih jalan sembahannya.
Dengan menjadikan idola dan diva sebagai manifestasi �pemujaan� dan kekaguman terhadap seseorang, ia boleh menjadikan remaja berada dalam keadaan ragu, keliru dan celaru. Ia boleh menyebabkan remaja boleh terjebak dengan amalan yang menyalahi akidah.
Agama Islam, bahasa Arab dan bahasa al-Quran amat mementingkan ketepatan sesuatu istilah. Konsep itu digunakan supaya ia tidak menimbulkan salah pengertian dan kekeliruan.
Apalagi menggunakan konsep idola dan diva untuk merujuk kepada manusia yang memberi konotasi atau makna pemujaan, ia boleh membawa kepada penyimpangan.
Konsep
Adalah lebih baik para remaja Islam yang amat prihatin dengan akidah dan iman supaya melazimkan diri dengan menggunakan konsep qudwah atau model-contoh kerana ia menepati maksud. Konsep qudwah merujuk kepada contoh terbaik yang pernah ada kepada umat manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Sebagai seorang budak, Nabi Muhammad seorang penggembala kambing yang taat dan jujur. Sebagai remaja, Nabi Muhammad tidak pernah menyembah berhala ataupun idol atau dewata sebaliknya menjadi seorang peniaga yang baik dan ikhlas dan sering bersendirian kerana nalurinya sering menentang amalan penyembahan berhala di kalangan kaumnya.
Sebagai orang dewasa, Nabi Muhammad melakukan dakwah sebijaksana mungkin dengan memiliki prinsip kebenaran yang utuh, istiqamah atau teguh hati yang tinggi, akhlak yang terpuji sehingga digelar sebagai �al Amin� iaitu seorang yang mendamaikan. Sebagai seorang pemimpin, Nabi Muhammad cuba menjadikan dirinya sebagai pemimpin contoh dan pengurusan kota Madinah yang mempunyai penduduk berbilang dilakukan dengan adil dan saksama. Inilah qudwah terbaik yang dibentuk oleh Allah s.w.t. yang memiliki kualiti peribadi unggul (towering personality) untuk dijadikan sumber qudwah yang sifatnya merentasi zaman.
Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis. Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang-orang Islam. Orang-orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.
Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.
Budaya membaca, menyelidik, menulis dan berbincang di kalangan orang-orang Barat dan Jepun adalah baik untuk para remaja ikuti. Tetapi menjadikan artis heavy-metal sebagai idola dan diva adalah tidak baik.
Mengagumi tokoh-tokoh Barat dalam banyak bidang dan lupa atau sengaja tidak mahu ambil tahu tokoh-tokoh yang menyumbang terhadap tamadun umat Islam dan umat manusia, misalnya, adalah suatu ketempangan.
Remaja Islam harus kembali kepada diri kerana pada diri mereka ada agama Islam yang ajarannya menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia melakukan keburukan.
Remaja Islam harus kembali kepada tradisi dan budaya sendiri. Contoh terbaik yang patut dijadikan ikutan dan teladan ialah Rasulullah s.a.w. bukannya idola dan diva.
Thursday, July 3, 2008
"LIWAT" DARI SUDUT AGAMA ISLAM
Menurut hukum Islam, semua individu Islam perlu berawas dalam mempercayai atau menyebarkan apa jua berita berkaitan zinanya seseorang dan juga liwat. Imam Ibn Qudamah dan lain-lain ulama silam yang berautoriti menyebut dengan jelas bahawa menuduh liwat tanpa saksi termasuk dalam hukum qazf. ( Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)
Imam Abi Ishak As-Shirazi As-Syafie berkata :
ولا يقبل في اللواط إلا أربعة لانه كالزنا في الحد في الشهادة
Ertinya : Tidak diterima dalam tuduhan liwat kecuali empat saksi kerana ia adalah sama seperti zina dalam (keperluan saksinya) untuk disabitkan hukum" ( Al-Muhazzab, 3/332)
Tanpa berhati-hati, seseorang yang percaya dan menyebarkannya boleh jatuh dalam kesalahan Qazaf yang amat besar dosanya di sisi Islam.
Kesalahan ini dicatat oleh Allah swt :-
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Ertinya : Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik ( An-Nur : 4)
Imam Al-Qurtubi berkata sebab turun ayat ini adalah antara kepada kes fitnah terhadap Sayidatina Aisyah ataupun kes Hilal bin Umaiyah (yang menuduh istreinya berzina) atau lainnya, namun yang terpenting hukumnya berjalan terus.
Walalupun ayat kelihatan menyebut kesalahan menuduh zina dan liwat kepada sang wanita, namun tuduhan kepada lelaki juga termasuk dalam ayat ini secara sepakat ulama dan ijma ulama (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi).
RINGKASAN SYARAT-SYARAT
Qazf mempunyai beberapa syarat :-
1) Syarat kepada penuduh :
- Beraqal
- Sudah baligh
2) Syarat BENDA YANG DITUDUH untuk dianggap qazaf
- Menuduh dengan salah satu antara tiga tuduhan yang mewajibkan dihukum, iaitu ZINA dan LIWAT atau menafikan nasab anak sendiri ( ertinya menuduh isteri berzina). ( Al-Fawakih Al-Dawani, 2/211)
3) Syarat orang yang dituduh
- Beraqal
- Baligh
- Islam
- Merdeka diri
- BERSIH DARI tuduhan yang dilemparkan kepadanya.
Justeru, saya nasihatkan agar semua yang membaca berita hangat terkini dalam arena politik Malaysia hari ini agar menahan diri dan menyerahkannya kepada pihak hakim untuk meneliti bukti-bukti kedua-dua pihak, sebagaimana disebutkan oleh Allah swt :-
ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء
Para ulama sepakat bahawa ayat ini menunjukkan wajibnya si penuduh membawakan saksi seramai empat orang. Perbincangan terperinci berkenaan hal ini terlalu panjang. Namun saksi inilah kuncinya, tanpanya, kita tidak atau belum boleh mempercayai satu apa pun berkenaan tududan zina dan liwat atau kita mencari nahas di akhirat. (Al-Mughni, 9/72 ; Syarh Muntaha Al-Iradat, 3/599 ; Kasyyaf Al-Qina', 6/433)
Imam Malik berkata :
قول مالك، وإن اضطرب واحد منهم جلد الثلاثة، كما فعل عمر في أمر المغيرة بن شعبة،
Ertinya : Jika salah seorang dari empat saksi goyah dan tidak kukuh penyaksiannya, ketiga-ketiga saksi yang lain akan dihukum sebat (80 kali kerana qazaf), sebagaimana yang dilakukan oleh Umar dalam kes AL-Mughirah Bin Syu'bah, (iaitu apabila seorang saksi bernama Ziyad tidak bersaksi maka semua tiga orang saksi sebelum itu disebat kerana menuduh Al-Mughirah.) ( Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi)
Selain dari mesti dihukum sebat 80 kali bagi mereka yang menududh zina dan liwat tanpa 4 saksi, si penuduh juga dihukum dengan penyaksiannya akan tertolak selama-lamanya selain dianggap Fasiq. Namun majority ulama berkata, dikecualikan bagi mereka yang bertaubat bersungguh-sungguh.
Namun Al-Qadhi Suraih, Ibrahim An-Nakh'ie, Hasan Al-Basri, Sufyan At-Thawry dan Imam Abu Hanifah tidak sependapat apabila mereka berkata penolakan hak boleh beri saksi kekal walalupun taubat, hanya gelaran fasiq sahaja yang dihapuskan di sisi Allah.
Sekadar itu sahaja bagi memperingatkan umat Islam di Malaysia agar jangan tersilap langkah dalam menerima berita-berita hal zina dan liwat ini. Mungkin si penuduh dan mereka yang menyebarkannya TIDAK AKAN dihukum qazaf di dunia, namun hukuman pasti menunggu di AKHIRAT, bermula dari alam barzakh. Kecualilah jika individu tersebut bukanlah seorang manusia yang akan menemui kematian, namun semua akan menemui kematian.
Sekian
Ehsan Dari
Zaharuddin Abd Rahman
Thursday, May 22, 2008
ASSABIYYAH – AGENDA KUFFAR MENGHANCURKAN ISLAM
Sumber : www.mykhilafah.com
Ikatan akidah ini terus menjadi asas kepada hubungan antara Muslim selama beribu tahun, dari zaman Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa Sallam hinggalah ke zaman Khilafah Uthmaniyyah. Islam telah menyatukan bangsa Arab, Barbar, Rom, Parsi, India dan lain-lain dan menjadikan mereka ummatan wahidah (umat yang satu). Islam juga telah mempersatukan manusia tanpa mengira warna kulit, keturunan, bahasa mahupun status sosial. Semuanya disatukan berdasarkan kalimah yang sama dan digabungkan di bawah negara yang sama (Daulah Khilafah). Tidak diragukan lagi, kalimah tauhid inilah yang telah meruntuhkan semua sifat dan sempadan assabiyyah serta wathaniyyah yang telah membelenggu manusia selama ini. Dan ikatan suci tanpa sempadan inilah yang pihak kuffar Barat berusaha siang dan malam untuk menghapuskannya.
Dengan membelek lipatan sejarah, kita akan dapati bahawa pihak kuffar telah berusaha berabad-abad lamanya untuk menghancurkan Daulah Islam yang telah dibina dan berdiri kukuh di atas asas akidah yang telah dibawa oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Peperangan demi peperangan tak kunjung padam, bermula dari Perang Badar, Uhud, Ahzab, Mu’tah, Tabuk, Yarmuk, Qadisiyah, dan yang paling panjang, Perang Salib. Namun, semua usaha golongan kuffar untuk memadamkan cahaya Allah ini tidak mendatangkan hasil. Kekuatan Daulah Islam yang tiada taranya membuatkan musuh-musuh Islam akur bahawa Daulah Islam adalah satu kuasa yang tidak akan dapat dikalahkan. Hal ini berlaku tidak lain kerana kaum Muslimin memerangi kuffar semata-mata atas satu dasar yakni Islam. Kaum Muslimin dulunya adalah orang-orang yang hidup hanya untuk Islam dan sanggup menyerahkan jiwa dan raga demi Islam, bukannya demi assabiyyah atau wathaniyyah. Bak ungkapan Khalid Al-Walid kepada pihak musuh di dalam satu peperangan “Orang-orang yang bersamaku ini mencintai mati (syahid) sebagaimana kamu mencintai hidup.” Para mujahideen ini berjuang dengan penuh semangat, keberanian dan keimanan demi meninggikan kalimah Allah dan bukannya berperang atas dasar bangsa atau tanahair.
Setelah gagal mengalahkan Daulah Islam, sebaliknya tersungkur di dalam banyak peperangan, golongan kuffar mula mencari cara lain untuk menghancurkan Islam. Akhirnya mereka menemukan jalan bahawa satu-satunya cara untuk mengalahkan kaum Muslimin adalah dengan memisahkan mereka dari ajaran Islam yang selama ini telah sebati dengan kaum Muslimin. Mereka yakin bahawa hal ini akan dengan sendirinya meruntuhkan Daulah Islam dari dalam. Dalam satu sidang House of Commons, Perdana Menteri Britain berketurunan Yahudi, Benjamin Disraeli pernah mengatakan, “Kaum Muslimin tak akan dapat dikalahkan sampai bila-bila sehingga ini dicabut dari mereka”, sambil jarinya menunjuk kepada Al-Quran. Inilah hasrat dan cita-cita mereka dan mereka benar-benar melaksanakannya. Agenda untuk memasukkan racun assabiyyah ke tubuh kaum Muslimin telah diberi perhatian serius oleh mereka. Mereka mula mengirim para muballigh (missionaries) ke dalam Daulah Islam kononnya untuk ‘ilmu dan kemanusiaan’ walhal tujuan sebenarnya adalah untuk menanam benih perpecahan di tengah-tengah jantung Daulah. Malangnya Daulah tidak dapat menghidu perkara ini, lalu membenarkan kemasukan missionaries ini. Walaupun mengalami kesukaran di peringkat awal, namun akhirnya, benih yang ditanam mula mengakar umbi dan hidup di dalam tubuh Daulah dan terus tumbuh sebagai parasit yang menjahanamkan perumahnya sedikit demi sedikit.
Melalui gerakan missionaries inilah, golongan kuffar berjaya di dalam makar mereka untuk memecahbelahkan umat Islam dan Daulah Islam dengan api assabiyyah dan wathaniyyah yang mereka hembuskan. Kaum Muslimin benar-benar terasuk dengan pemikiran kufur, mengalami perpecahan dan terlibat dengan perbalahan serta pergaduhan sesama sendiri yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Mereka mula membenci sesama sendiri dan tidak dapat menerima pemerintah yang bukan dari bangsa mereka. Mereka merasa seolah-olah ditindas dan dizalimi oleh pemerintah berbangsa asing, walhal kesemuanya adalah Muslim. Mereka mula menyanjung dan memuja pemikiran-pemikiran dari Barat yang kononnya membawa kebebasan dan kemajuan. Dengan racun nasionalisme dan patriotisme yang sudah menular di badan, maka muncullah perjuangan untuk memerdekakan diri sebagai satu bangsa bagi menubuhkan negara sendiri yakni negara yang berdiri atas asas bangsa. Dari sini muncullah pejuang-pejuang kebangsaan (yang sebenarnya adalah agen British) seperti Mustafa Kamal, Syarif Hussein beserta kedua anaknya Faizal dan Abdullah yang hakikatnya ditaja dan dibiayai oleh British untuk menjatuhkan Daulah Khilafah. Akhirnya, melalui perjuangan assabiyyah dan wathaniyyah yang dilancar tanpa henti, tumbanglah sebuah Daulah Islam yang selama ini menyatukan kaum Muslimin atas dasar ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ dan bermulalah pemerintahan negara-bangsa yang terpecah-belah dan terdiri dari pemimpin yang kebanyakannya adalah agen Barat.
Wahai kaum Muslimin! Baik dari segi sejarah mahupun apa yang sedang kita saksikan sekarang, ikatan assabiyyah dan wathaniyyah ini telah terlalu banyak membawa malapetaka dan perpecahan kepada umat Islam. Perasaan-perasaan kufur ini boleh disifatkan sebagai sebuah time-bomb (bom jangka) yang boleh meletup pada bila-bila masa sahaja apabila ianya diusik. Selagi ikatan kufur ini tidak dihapuskan ke akar umbinya, selagi itulah lingkaran kekufuran akan terus menguasai dunia Islam.
Keharaman Nasionalisme & Patriotisme
Nasionalisme adalah satu konsep yang bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia mengikat dan menyatukan manusia atas dasar bangsa atau keturunan, walhal satu-satunya cara yang benar untuk mengikat dan menyatukan umat Islam adalah berdasarkan ikatan akidah. Bersatu atas dasar jalur keturunan atau bangsa jelas-jelas diharamkan oleh Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.
Terdapat banyak peristiwa di dalam sirah di mana Rasulullah mencela mereka yang cuba mempertahankan sikap assabiyyah ini. Dalam satu kejadian, sekumpulan Yahudi merancang untuk memecahkan kesatuan kaum Muslimin setelah dengki melihat bersatunya Auz dan Khazraj atas dasar Islam. Mereka menghantar beberapa orang pemuda untuk melaga-lagakan Aus dan Khazraj dengan mengungkit semula kisah Perang Bu’ath di mana golongan Aus berjaya mengalahkan Khazraj. Hasilnya terjadilah perkelahian antara Aus dan Khazraj dan hal ini kemudiannya sampai ke pengetahuan Rasulullah. Nabi dengan tegas lalu bersabda, “Wahai kaum Muslimin, ingatlah kalian kepada Allah, ingatlah kalian kepada Allah! Kenapa kalian mengikuti seruan Jahiliyyah, padahal aku masih berada di tengah-tengah kalian. Dan Allah sebelumnya telah memberi petunjuk kepada kalian dengan Islam, memuliakan kalian dengannya, memutuskan segala kejahiliyyahan dari kalian, menyelamatkan kalian dari kekafiran dan menyatukan hati kalian.” Apabila mendengar sabda Nabi ini, kaum Aus dan Khazraj terus sedar bahawa seruan Jahilliyah adalah tipuan syaitan, dan salah satu dari makar musuh Allah terhadap mereka. Mereka terus menangis dan berpelukan antara satu sama lain. Peristiwa ini merupakan asbabun nuzul Surah Ali Imran (3):102-103. [Sirah Ibn Hisyam].
At-Thabrani dan al-Hakim melaporkan bahawa pada suatu hari beberapa orang sedang berbual tentang Salman al-Farisi dengan merendah-rendahkan bangsa Parsi berbanding bangsa Arab. Apabila mendengar hal ini, Rasulullah tersu bersabda, “Salman adalah dari ahli al-bait (keluarga Rasulullah).” Kata-kata Nabi ini sebenarnya memutuskan segala bentuk ikatan berdasarkan keturunan atau bangsa. Dikisahkan juga oleh Ibn Al-Mubarak di dalam dua kitabnya, Al-Birr dan As-Salah bahawa terjadi perselisihan antara Abu Zar dan Bilal, lalu Abu Dzar berkata kepada Bilal, “Engkau anak orang hitam.” Rasulullah amat marah mendengar kata-kata Abu Zar ini lalu bersabda, “Engkau sudah melampau wahai Abu Dzar. Orang yang mempunyai ibu yang putih langsung tidak ada kelebihan di atas orang yang mempunyai ibu yang hitam.” Kata-kata Rasulullah ini memberi kesan yang mendalam ke atas Abu Dzar sehingga beliau meletakkan kepalanya ke tanah dan bersumpah tidak akan mengangkat kepalanya selagi Bilal tidak memijak kepalanya.
Peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan kepada kita bahawa ikatan assabiyyah dan wathaniyyah langsung tidak ada tempat di dalam Islam. Kaum Muslimin diperintahkan agar bersatu atas dasar persamaan akidah dan tidak membezakan antara satu sama lain hanya disebabkan oleh perbezaan bangsa atau asal keturunan. Rasulullah mengingatkan kita bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu, jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdi, Pakistan dan sebagainya adalah ummatan wahidah dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair.
Sesetengah orang mendakwa bahawa Rasulullah membenarkan assabiyyah berdasarkan peristiwa hijrah di saat Rasulullah bersabda tentang Mekah dengan air mata membasahi pipinya, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi.” Sebenarnya kata-kata Nabi ini langsung tidak ada kena-mengena dengan assabiyyah (nasionalisme) mahupun wathaniyyah (patriotisme). Kesalahfahaman ini timbul kerana hadis ini selalunya tidak dibaca atau dipetik secara sepenuhnya, yang berbunyi, “Engkau (Mekah) adalah bumi Allah yang paling aku sayangi kerana engkau adalah bumi yang paling Allah sayangi”. Oleh itu, kecintaan Rasulullah kepada Mekah adalah kerana kedudukannya yang suci yang Allah berikan dan bukannya kerana Rasulullah dilahirkan di sana. Setiap Muslim justeru mesti cinta dan sayangkan Mekah kerana bumi ini adalah bumi yang paling Allah sayangi dan hal ini langsung tidak ada hubung-kaitnya dengan nasionalisme atau patriotisme!
Penerangan berasaskan dalil dan nas syara' di atas membuktikan bahawa sesungguhnya keharaman assabiyyah dan wathaniyyah adalah jelas dan nyata, sebagaimana jelasnya malapetaka dan perpecahan yang dibawa keduanya. Justeru, adalah menjadi kewajiban setiap Muslim untuk menghilangkan sifat dan sikap ini dari diri mereka, seterusnya bergerak dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah melenyapkan kekufuran ini di mana jua mereka temui. Setiap Muslim juga wajib memuhasabah (bukannya bersekongkol dengan) pemimpin yang mengamalkan fahsya’ (kekejian) ini dan berusaha menyatukan kaum Muslimin di bawah bendera ‘La ilaha illallah Muhammad Rasulullah’ tanpa mengenal batas sempadan, bangsa mahupun keturunan. Dalam konteks ini, seluruh negeri kaum Muslimin (termasuk Malaysia dan Indonesia) sepatutnya bergabung membentuk satu negara dan melantik seorang Khalifah yang akan menerapkan pemerintahan berdasarkan Al-Kitab dan As-Sunnah. Jika dulu Rom dan Parsi yang asalnya negara kufur, boleh tunduk dan bergabung di bawah satu Daulah, apatah lagi kini, Malaysia dan Indonesia yang sememangnya negara kaum Muslimin, tentunya lebih mudah untuk digabungkan, Insya Allah. Pokoknya, jika dibuang jauh-jauh segala bentuk assabiyyah dan wathaniyyah yang mengikat kedua-dua negara sekarang ini, maka dengan izin Allah, Malaysia dan Indonesia akan bersatu.